Mushabbihah dan Mujassimah di Dalam Sejarah Umat Islam

Mushabbihah dan Mujassimah di Dalam Sejarah Umat Islam

Mushabbihah dan Mujassimah di dalam Sejarah Umat Islam

Menurut Prof. Dr. Qaḥṭān ʿAbd al-Raḥmān al-Dūrī (2018) di dalam kitabnya “Ta’wīl al-Naṣṣ al-Sharʿī”, muka surat: 181-196, golongan Mushabbihah [dan Mujassimah] di dalam sejarah umat Islam adalah seperti berikut:

[1] Golongan ghulāt (pelampau) Syiah seperti:

[i] Al-Saba’iyyah: Para pengikut ʿAbdullāh bin Saba’, Ibnu al-Sawdā’, seorang Yahudi yang zahirnya memeluk Islam dan membuat kerosakan dari dalam. Dia menamakan Saidina ʿAlī رَضِيَ اللهُ عَنْهُ sebagai tuhan dan menyerupakan beliau dengan zat tuhan.

[ii] Al-Bayāniyyah: Para pengikut Bayān bin Samʿān al-Tamīmī al-Nahdī. Dia menyangka tuhannya itu manusia dari cahaya dan mempunyai rupa manusia dari sudut anggota. Dan semuanya akan hancur kecuali muka/wajahnya.

[iii] Al-Mughīriyyah: Para pengikut al-Mughīrah bin Saʿīd al-ʿIjlī. Dia menganggap Allah itu mempunyai rupa (ṣūrah) dan jisim yang mempunyai pelbagai anggota.

[iv] Al-Manṣūriyyah: Para pengikut Abū Manṣūr al-ʿIjlī. Dia menyerupakan tuhan dengan dirinya dan tuhannya itu naik ke langit, menyapu kepalanya dengan tangannya dan seumpamanya.

[v] Al-Khaṭṭābiyyah: Para pengikut Abū al-Khaṭṭāb al-Asadī yang mengganggap para imam Syiah sebagai tuhan dan dirinya juga sebagai tuhan.

[vi] Al-ʿUdzāfirah: Para pengikut Ibnu Abī al-ʿUdzāfir Muḥammad bin ʿAlī al-Shalmaghānī dan mereka mengiktikadkan ketuhanannya.

[vii] Al-Nuṣayriyyah: Para pengikut Muḥammad bin Nuṣayr al-Numayrī.

Dan seumpama mereka.

Semua golongan di atas pada hakikatnya telah terkeluar dari agama Islam.

Dan di antara golongan Mushabbihah juga ialah beberapa golongan yang dianggap masih di dalam kelompok Islam kerana mereka masih memperakui kewajipan hukum-hukum Al-Quran, kewajipan rukun-rukun Islam dan pengharaman perkara yang diharamkan walaupun mereka telah sesat dan kufur pada usul-usul ʿaqliyyah.

Di antara mereka ialah:

[1] Al-Hishāmiyyah: Nisbah kepada Hishām bin al-Ḥakam al-Shīʿī.

[2] Al-Hishāmiyyah: Nisbah kepada Hishām bin Sālim al-Jawālīqī al-Shīʿī (w.190H). Dia menganggap tuhannya dalam rupa manusia.

[3] Al-Mushabbihah yang dinisbahkan kepada Dāwūd al-Jawāribī.

[4] Al-Muqātiliyyah: Para pengikut Muqātil bin Sulaymān al-Balkhī (w.150H)

[5] Al-Khābiṭiyyah daripada golongan al-Qadariyyah: Nisbah kepada Aḥmad bin Khābiṭ, seorang muktazilah.

[6] Al-Karrāmiyyah: Para pengikut Muḥammad bin Karrām (MKS) al-Sijistānī (w.255H) yang telah merosakkan mazhab Hanbali dengan fitnah tasjim dan tashbih.

Ibnu Karrām sempat hidup di zaman al-Imam Aḥmad bin Ḥanbal (w.241H) dan berlakun sebagai salah seorang pengikut mazhabnya. Namun, setelah kewafatan Imam Ahmad pada tahun 241 Hijrah, Ibnu Karrām mula menyebarkan fahaman Tajsim dan Tashbih di kalangan pengikut Imam Ahmad sehingga mazhab al-Imam Aḥmad terjejas dengan fitnah ini. 

Dia dan pengikutnya menggunakan helah dengan menzahirkan kesungguhan mendengar hadith. Mereka banyak menyebut hadith-hadith mutashabihat dan menghimpunkannya serta membacakannya kepada masyarakat awam.

Hakikat ini telah diterangkan dengan jelas oleh al-Imam Taqiyy al-Din al-Hisni al-Shafiʿi (w.829H) di dalam kitabnya “Dafʿ Shubah Man Shabbah wa Tamarrad wa Nasab Dzālik ilā al-Sayyid al-Jalīl al-Imām Aḥmad” 

[7] Al-Ḥashwiyyah: Sekumpulan daripada ahli hadith yang menyatakan tashbih secara jelas. Mereka berpegang dengan makna literal nas mutashābihāt dan melarang takwil dan ijtihad. 

Di antara mereka ialah:

[i] Hamas bin al-Ḥasan al-Tamīmī (w.149H) – seorang ahli hadith yang masyhur.

[ii] Muḍar bin Muḥammad bin Khālid.

[iii] Aḥmad bin ʿAṭā’ al-Hujaymī al-Baṣrī.

Mereka bertiga diriwayatkan mengharuskan bersentuhan (mulāmasah) dan bersalaman (muṣāfaḥah) dengan tuhan merekā.

[8] Dan beberapa fuqahā’ Ḥanābilah (mazhab Hanbali) yang masyhur dengan tashbīh ada tiga orang, iaitu:

[i] Abū ʿAbdillāh al-Ḥasan bin Ḥamid bin ʿAlī al-Baghdādī al-Warrāq (w.403H)

[ii] Abū Yaʿlā Muḥammad bin al-Ḥusayn bin Muḥammad bin Khalaf bin al-Farrā’ (w.458H)

[iii] Abū al-Ḥasan ʿAlī bin ʿUbaydillāh bin Naṣr al-Zāghūnī (w.527H).

Kata-kata mereka tentang akidah tashbīh adalah jelas (ṣarīḥ) dan bertentangan dengan kata-kata al-Imām Aḥmad bin Ḥanbal (w.241H). Mereka bertiga telah dikritik dengan tegas dan keras oleh al-Imām al-Ḥāfiẓ Ibnu al-Jawzī al-Ḥanbalī (w.597H) di dalam kitabnya yang masyhur “Dafʿ Shubah al-Tashbīh bi Akaff al-Tanzīh.” 

Mereka disebut telah mengotorkan mazhab Hanbali dengan kekotoran yang sangat keji dan jijik serta tidak mampu dibersihkan sehingga hari Kiamat.

[9] Al-Mushabbihah yang dinisbahkan kepada Abū ʿĀmir al-Qurashī Muḥammad bin Sāʿdūn (w.524H).

Dan selain mereka yang disebutkan di dalam kitab-kitab yang lain.

PENUNTUT ILMU

baca juga :

Sumber FB Ustadz : Abdullaah Jalil

©Terima kasih telah membaca kajian ulama ahlussunnah dengan judul "Mushabbihah dan Mujassimah di Dalam Sejarah Umat Islam". Semoga betah di Kajian Ulama Aswaja ®

Kajian Terkait